Saturday, January 29, 2011

Skodeng Jejantas KT

JEJANTAS MAKSIAT 


KUALA TERENGGANU - Siapa sangka, jejantas Jalan Sultan Muhammad, berhadapan sebuah pasar raya terkemuka di daerah ini turut ‘tersenarai’ sebagai tempat persinggahan ‘berbulan madu’ bagi pasangan kekasih muda yang sedang kemaruk cinta, selain di bilik-bilik hotel ataupun di taman rekreasi.

Mungkin disebabkan faktor jarang dilalui orang awam ataupun keadaan kiri dan kanan jejantas yang tertutup, menjadi daya penarik pasangan kekasih muda berani memilih jejantas itu sebagai lokasi melepaskan nafsu. 

Aktiviti tidak bermoral di atas jejantas itu didedahkan orang awam dan kakitangan Wisma Peladang kepada Sinar Harian, disebabkan tidak sanggup lagi menanggung dosa bersubahat dengan pasangan kekasih tidak tahu malu itu. 

Untuk kesahihan dan kepastian mengenai aduan yang disalurkan, wartawan Sinar Harian turun padang meninjau ke lokasi yang dimaksudkan dan selama tiga jam bermula jam 1 hingga 3 petang berada di tingkat tiga bangunan Wisma Peladang itu, lensa kami sempat merakam aksi pasangan kekasih muda yang secara terang-terang melakukan aksi mengghairahkan, walaupun di bawah terik mentari.

Sunday, January 9, 2011

Port Di Pasir Gudang

Jadi ‘port’ maksiat 
TAMAN BUNGA RAYA – Rumah tinggal yang digelar penduduk sebagai ‘rumah hantu’ di Jalan Bunga Raya Satu, Taman Bunga Raya Masai yang disiarkan Sinar Harian 17 November tahun lalu kini menjadi ‘port’ maksiat. 

Seorang penduduk, Normah Ahmad berkata, rumah tinggal itu masih belum diambil sebarang tindakan oleh pihak bertanggungjawab dan semakin menyakitkan mata memandang. 

Menurutnya, di sebalik hutan kecil di dalam persekitaran rumah tinggal tersebut, penduduk terkejut apabila menemui tilam yang dikenal pasti sering diguna pakai di dalam rumah itu. 

“Kami terkejut melihat tilam terpakai yang masih elok sebaik memasuki kawasan rumah tersebut melalui pintu pagar belakang untuk membetulkan keadaan wayar elektrik yang terjulur keluar. 

“Keadaan di dalam rumah juga dilihat seakan-akan sering digunakan oleh individu tidak bertanggungjawab untuk melakukan maksiat dan menagih dadah, meskipun keadaan persekitaran luar kediaman itu dipenuhi hutan,” katanya. 

Normah berkata, pihak bertanggungjawab diharap lebih peka dengan masalah yang dihadapi penduduk dan sepatutnya telah lama mengambil tindakan membersihkan hutan kecil yang semakin subur di dalam kawasan rumah tinggal itu. 

Menurutnya, penduduk bukan sahaja diancam haiwan berbisa, tetapi khuatir menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes dan kini menjadi sarang penagih dadah dan maksiat. 

“Kita berharap pihak bertanggungjawab dapat membersihkan kawasan rumah tinggal itu segera kerana selain menakutkan penduduk, keadaan itu sangat menyakitkan mata memandang apabila adanya hutan dalam taman perumahan. 

“Kita tidak mahu ada orang ambil kesempatan melakukan aktiviti tidak bermoral di sebalik hutan kecil yang tumbuh di sekitar rumah tinggal di kawasan ini,” katanya. 

Sinar Harian 17 November lalu menyiarkan keresahan penduduk ekoran rumah tinggal yang ditumbuhi hutan kecil sejak 10 tahun lalu menjadi ancaman kepada penduduk sekitar. 

Walaupun beberapa aduan dikemukakan, namun tiada usaha ke arah membersihkan kawasan rumah tinggal tersebut sehingga hutan itu semakin menebal.

Monday, January 3, 2011

Cuba Tipu Pencegah Maksiat

Kantoi cuba tipu pencegah maksiat 


ALOR SETAR - “Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua”. Begitulah peribahasa yang dapat dikaitkan dengan pasangan yang cuba menipu penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAINK) untuk melepaskan diri mereka. 

Lelaki yang berusia 25 tahun yang ditemui dalam keadaan mencurigakan di sebuah bilik hotel bajet di Jalan Tandop cuba menyamar menjadi suami kepada teman wanitanya yang berusia 26 tahun.

Tipu helah lelaki yang memakai kemeja T berwarna kelabu itu terbongkar apabila dia gagap ketika disoal siasat penguat kuasa JHEAINK di luar bilik mereka menginap. 

Ketua Penolong Pegawai Penguat kuasa JHEAINK, Sheikh Muhammad Sulaimi Saleh berkata, selain daripada lelaki itu gagal membuktikan mereka sudah berkahwin namun, pasangan itu juga gagal mengemukakan bukti lain yang sah. 

Beliau berkata, selepas menjalankan siasatan ke atas pasangan itu, mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar untuk membuat laporan. 

Menurutnya, operasi yang dijalankan turut menahan empat lagi pasangan di kawasan yang menjadi lokasi tumpuan. 

“Pada operasi yang dijalankan itu, kita turut menahan dua pasangan di kawasan Tandop, sepasang di kawasan Alor Mengkudu dan satu lagi pasangan di pekarangan kawasan Stadium Darul Aman. 

“Penguat kuasa JHEAINK menahan pasangan di pekarangan Stadium Darul Aman apabila melihat mereka berada dalam keadaan mencurigakan ketika berada dalam kereta,” katanya. 

Sheikh Muhammad Sulaimi berkata, operasi yang dijalankan pada malam itu lebih tertumpu di Jalan Tandop, Shahab Perdana dan Simpang Kuala. 

Beliau berkata, operasi yang tertumpu di hotel bajet itu mula diadakan pada jam 7.30 malam dan berakhir jam 7.30 pagi. 

Sementara itu, Sheikh Muhammad Sulaimi berkata, kerjasama daripada orang ramai bagi membanteras gejala maksiat sememangnya dialu- alukan JHEAINK. 

Menurutnya, orang ramai boleh memberi maklumat sekiranya mereka terlihat pasangan yang berada dalam keadaan mencurigakan dengan menghubungi bilik gerakan JHEAINK di talian 04-730 3434. 

“Kita membuka dua talian untuk memudahkan orang ramai membuat aduan dan sekiranya mereka ingin membuat aduan pada waktu siang mereka boleh menghubungi talian 04-733 2828,” katanya.

Saturday, January 1, 2011

Ibubapa Perlu Mainkan Peranan

Sikap ibu bapa punca anak buat maksiat


2011/01/01

KUALA LUMPUR: Sikap ibu bapa yang suka campur tangan dan tidak percaya perilaku anak mereka terbabit dalam kegiatan maksiat atau gejala akhlak selepas ditahan pihak berkuasa dikenal pasti antara punca utama meningkatnya krisis sosial. 

Tindakan sering menyebelahi anak sendiri dan tidak menyokong aktiviti pencegahan atau penguatkuasaan jabatan agama itu dilihat mendorong meningkatkan kes salah laku akhlak termasuk hubungan luar nikah, maksiat, perjudian dan pergaulan bebas.
Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Che Mat Che Ali yang mengakui hakikat itu berkata, masyarakat sepatutnya memberi sokongan kepada sebarang aktiviti pencegahan dan tidak hanya mengharapkan pihak berkuasa menjalankan tugas.
“Memang ada ibu bapa yang bertindak seperti ini. Apabila kita maklumkan dan bagi nasihat mengenai kegiatan anak mereka, ibu bapa tidak akan percaya. 

“Itulah yang menjadi masalah kerana memang ada ibu bapa yang terlalu sibuk bekerja, hingga langsung tidak menghiraukan apa yang anak mereka lakukan. Jika anak tak pulang ke rumah pun, ada yang tak ambil peduli,” katanya semalam. 

Perhebatkan Penangkapan

JHEAIPP cekup pasangan lakukan 'aksi ringan-ringan'


2011/01/01

GEORGETOWN: Seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di sini, ditahan bersama teman lelakinya kerana berkelakuan kurang sopan di tempat awam di Pantai Jerejak di sini, tengah malam semalam. 

Pasangan yang berusia 20 tahun itu ditahan oleh sepasukan penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dalam Ops Sayang 2010, kira-kira jam 12 tengah malam.
Ketua Unit Operasi JHEAIPP, Khairul Azman Azizan, berkata ketika pemeriksaan dilakukan, pelajar itu berada di tempat duduk penumpang di bahagian depan, manakala pasangannya di tempat duduk pemandu Proton Waja yang bercermin gelap.
Katanya, selepas penguat kuasa memperkenalkan diri dan mengarahkan pasangan itu keluar untuk dibuat pemeriksaan, pelajar wanita berkenaan didapati tidak memakai baju dalam. 

“Apabila soal siasat dilakukan, pelajar itu memberitahu dia membuka baju ketika bermadu kasih bersama pasangannya. Malah, zip seluar dan tali pinggang teman lelaki pelajar itu cuba dibetulkan ketika pemeriksaan,” katanya. 

Khairul Azman berkata, ketika soal siasat dilakukan, pasangan itu mendakwa mereka tidak melakukan apa-apa dan hanya sekadar melakukan aksi 'ringan-ringan' di dalam kereta. 

Pasangan itu diberikan notis supaya menghadirkan diri ke pejabat JHEAIPP untuk diambil keterangan diri untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996.