Monday, January 3, 2011

Cuba Tipu Pencegah Maksiat

Kantoi cuba tipu pencegah maksiat 


ALOR SETAR - “Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua”. Begitulah peribahasa yang dapat dikaitkan dengan pasangan yang cuba menipu penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAINK) untuk melepaskan diri mereka. 

Lelaki yang berusia 25 tahun yang ditemui dalam keadaan mencurigakan di sebuah bilik hotel bajet di Jalan Tandop cuba menyamar menjadi suami kepada teman wanitanya yang berusia 26 tahun.

Tipu helah lelaki yang memakai kemeja T berwarna kelabu itu terbongkar apabila dia gagap ketika disoal siasat penguat kuasa JHEAINK di luar bilik mereka menginap. 

Ketua Penolong Pegawai Penguat kuasa JHEAINK, Sheikh Muhammad Sulaimi Saleh berkata, selain daripada lelaki itu gagal membuktikan mereka sudah berkahwin namun, pasangan itu juga gagal mengemukakan bukti lain yang sah. 

Beliau berkata, selepas menjalankan siasatan ke atas pasangan itu, mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar untuk membuat laporan. 

Menurutnya, operasi yang dijalankan turut menahan empat lagi pasangan di kawasan yang menjadi lokasi tumpuan. 

“Pada operasi yang dijalankan itu, kita turut menahan dua pasangan di kawasan Tandop, sepasang di kawasan Alor Mengkudu dan satu lagi pasangan di pekarangan kawasan Stadium Darul Aman. 

“Penguat kuasa JHEAINK menahan pasangan di pekarangan Stadium Darul Aman apabila melihat mereka berada dalam keadaan mencurigakan ketika berada dalam kereta,” katanya. 

Sheikh Muhammad Sulaimi berkata, operasi yang dijalankan pada malam itu lebih tertumpu di Jalan Tandop, Shahab Perdana dan Simpang Kuala. 

Beliau berkata, operasi yang tertumpu di hotel bajet itu mula diadakan pada jam 7.30 malam dan berakhir jam 7.30 pagi. 

Sementara itu, Sheikh Muhammad Sulaimi berkata, kerjasama daripada orang ramai bagi membanteras gejala maksiat sememangnya dialu- alukan JHEAINK. 

Menurutnya, orang ramai boleh memberi maklumat sekiranya mereka terlihat pasangan yang berada dalam keadaan mencurigakan dengan menghubungi bilik gerakan JHEAINK di talian 04-730 3434. 

“Kita membuka dua talian untuk memudahkan orang ramai membuat aduan dan sekiranya mereka ingin membuat aduan pada waktu siang mereka boleh menghubungi talian 04-733 2828,” katanya.

No comments:

Post a Comment