Sunday, January 9, 2011

Port Di Pasir Gudang

Jadi ‘port’ maksiat 
TAMAN BUNGA RAYA – Rumah tinggal yang digelar penduduk sebagai ‘rumah hantu’ di Jalan Bunga Raya Satu, Taman Bunga Raya Masai yang disiarkan Sinar Harian 17 November tahun lalu kini menjadi ‘port’ maksiat. 

Seorang penduduk, Normah Ahmad berkata, rumah tinggal itu masih belum diambil sebarang tindakan oleh pihak bertanggungjawab dan semakin menyakitkan mata memandang. 

Menurutnya, di sebalik hutan kecil di dalam persekitaran rumah tinggal tersebut, penduduk terkejut apabila menemui tilam yang dikenal pasti sering diguna pakai di dalam rumah itu. 

“Kami terkejut melihat tilam terpakai yang masih elok sebaik memasuki kawasan rumah tersebut melalui pintu pagar belakang untuk membetulkan keadaan wayar elektrik yang terjulur keluar. 

“Keadaan di dalam rumah juga dilihat seakan-akan sering digunakan oleh individu tidak bertanggungjawab untuk melakukan maksiat dan menagih dadah, meskipun keadaan persekitaran luar kediaman itu dipenuhi hutan,” katanya. 

Normah berkata, pihak bertanggungjawab diharap lebih peka dengan masalah yang dihadapi penduduk dan sepatutnya telah lama mengambil tindakan membersihkan hutan kecil yang semakin subur di dalam kawasan rumah tinggal itu. 

Menurutnya, penduduk bukan sahaja diancam haiwan berbisa, tetapi khuatir menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes dan kini menjadi sarang penagih dadah dan maksiat. 

“Kita berharap pihak bertanggungjawab dapat membersihkan kawasan rumah tinggal itu segera kerana selain menakutkan penduduk, keadaan itu sangat menyakitkan mata memandang apabila adanya hutan dalam taman perumahan. 

“Kita tidak mahu ada orang ambil kesempatan melakukan aktiviti tidak bermoral di sebalik hutan kecil yang tumbuh di sekitar rumah tinggal di kawasan ini,” katanya. 

Sinar Harian 17 November lalu menyiarkan keresahan penduduk ekoran rumah tinggal yang ditumbuhi hutan kecil sejak 10 tahun lalu menjadi ancaman kepada penduduk sekitar. 

Walaupun beberapa aduan dikemukakan, namun tiada usaha ke arah membersihkan kawasan rumah tinggal tersebut sehingga hutan itu semakin menebal.

No comments:

Post a Comment